【ツ】Ada satu kisah tentang seseorang : 【ツ】 Pada satu hari yang indah, dia telah berkata, "الله اكبر".

【ツ】 Kemudian dia menyambung lagi, "لا إلـﮧ إلاَّ اللـَّـﮧ مُـכـمَّــدْ رَسُــولُ اللـَّـﮧ". ... ...
【ツ】 Selepas itu dia berkata, "لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحانَكَ إِنّى كُنْتُ مِنَ الظَّالِمينَ".
【ツ】 Dia menambah sikit lagi, "سُبْحانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ, سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ".
【ツ】 Dengan melakukan semua perkara berikut, dia telah diberi ganjaran yang sangat besar dari ALLAH SWT ♥
【ツ】 Kamu mahu tahu siapakah orang yang beruntung itu?
【ツ】 Orang itu adalah KAMU 【ツ】
::..Seorang Insan Yang Mengambara Di Bumi Tuhan..::

Thursday 19 May 2011

Ibu, Dari Mana Datangnya Semua Ini?

Di sebuah rumah di pinggir kota,
Jam 12.00 tengahari, tiga beranak sedang bersiap-siap untuk makan tengahari dan makanan telah tersedia sejak pagi, ibu dan ayahnya sama-sama memasak makanan.
Kali ini mereka cuba untuk menggunakan semuanya segar dari kebun yang ditanam di laman belakang dan tepi depan rumah mereka.
Ada tomato, ada cili, ada halia, ada kunyit, ada serai, ada daun salad dan sebagainya tapi rumah mereka tidaklah luas mana.
Ada seorang anak kecil, makan bersama ayah dan ibunya.
Sedang ia makan, dia bertanya kepada ibunya.
"Ibu, makanan hari ini sangat sedap, dari mana datangnya makanan ini dan rasa sedap ni ibu?"
Fikrah dengan ceria bertanya pada ibunya, rasa sedap pada lidahnya membuatkan pipi gebu Fikrah bertambah tembam.
Ibunya sambil rasa senang dan seronok kerana dipuji cuba mula bercerita.
"Oh, makanan ini kan ibu yang masak tadi, ibu campurkan dengan lada putih dan lada hitam dan beberapa biji hasbatul sauda', ibu juga tidak gunakan sos dan kicap untuk perasa. Kali ini ibu cuba gunakan buah tomato yang ibu tanam dibelakang rumah untuk rasa masam dan cili segar untuk rasa pedas, sedikit halia juga dari kebun kita di belakang rumah tu, mungkin kerana segar dari kebun, itu penyebab kesedapannya wahai anakku Fikrah."
Ayahnya menambah,
"Mungkin kerana Fikrah mula makan makanan itu dengan bismillah, itu yang sedap tu"
Ujar ayahnya sambil mengusap rambut yang terurai di dahi fikrah dengan penuh kasih sayang.
Ibu dan ayahnya tersenyum, anaknya masih tidak puas hati dengan jawapan ibu dan ayahnya, dibenak hatinya, ibu dan ayah tersenyum seperti mereka ada merahsiakan jawapan sebenar.
"Bagaimana dengan nasi ni ibu"? kita tak tanam padi kan?
Ibu dan ayahnya terkejut, kenapa hari ini fikrah betul-betul mahu tahu persoalan ini?
Ibunya menjawab,
"Ya, Fikrah, kita tidak menanam padi, padi ini datangnya dari sawah. Rumah kita tak muat untuk menanam padi. Jadi ada pesawah yang bekerja untuk menanam padi, pesawah itulah yang menuai padi dan pesawah itu akan menghantar padi yang dituai ke kilang untuk diproses menjadi beras"
Ayahnya menyampuk dengan nada berjenaka.
"Ya.. kilang beras, pilihan bernas, pilihan bijak" suami isteri itu tertawa kecil oleh lawak si suami.
Sedangkan Fikrah benar-benar rasa masih belum terjawab. Dia mengetip bibir seolah-olah geram.
Ayahnya terperasan keadaan itu lalu meneruskan cerita.
"Dari kilang, beras itu dibungkus dan dihantar ke kedai-kedai, dari kedailah kita membeli beras, dan kemudian beras itu ibu fikrah basuh, dan ibu fikrah memasaknya untuk kita sekeluarga dengan rice cooker yang ayah belikan tu"
Dengan lemah lembut ayah fikrah bercerita agar dapat mententeramkan fikrah.
Fikrah bertanya lagi. Kali ini bertubi-tubi seolah-olah tidak puas hati benar
"Dari mana datangnya padi?" dari benih padi jawab ibunya
"Dari mana datangnya benih padi?" dari penuaian benih padi di tanam di atas tanah jawab ayahnya.
"Dari mana datangnya tanah"?
Ayah dan ibu Fikrah terdiam dan terdetik di hati mereka. Terharu, sayu, pilu, keinsafan, dan bangga pada Fikrah, mungkin berkat namanya Fikrah, dia benar-benar ingin tahu erti "Fikrah"
"Fikrah tahu semua yang ibu dan ayah cakap sejak awal tadi adalah selok belok.
kenapa ibu dan ayah tidak menjawab dengan terus terang?"
Fikrah seolah-olah merajuk, tapi fikrah tertunduk takut-takut kalau sikapnya itu buat ibunya kecil hati. Fikrah tak mahu berdosa pada ibu.
Keadaan terdiam sebentar. Seolah-olah ada malaikat yang lalu datang membawa ilham kepada ibu dan ayah fikrah untuk menjawab persoalan anaknya yang bersifat Fikrah itu.
Ibu Fikrah berkata,
"Anakku, ibu minta maaf, ibu mengelirukan Fikrah, ketahuilah anakku, memang benar. Segalanya dari Allah S.W.T"
Makanan yang kita makan itu dari Allah S.W.T. Rasa sedap makanan itu juga dari Allah S.W.T. Tanaman yang ayah fikrah usahakan di kebun rumah kita juga tumbuh dengan izin Allah.s.w.t.
Ayah Fikrah menitiskan air mata menyambung kata-kata ibu fikrah.
"Benar Fikrah, segala-galanya dari Allah S.W.T. Dialah Al-Khaliq. Mari kita berdoa agar rezeki yang diberikan ini berkat, halal, dan semoga dengan rezeki yang baik darinya ini kita sekeluarga terhindar dari api neraka."
Mereka bertiga menadah tangan semula dan berdoa kepadaNya.
Tangisan keinsafan dan air mata yang keluar dari mata kami bertiga ini juga dariMu Ya Allah.
Segalanya dari Al-Khaliq.

Kehebatan Perkataaan 'Tolong' dan 'Terima Kasih'!

"Can you press for me level 7... Please," Pinta seorang kiwi (orang New Zealand), semasa kami berada di dalam lif di perpustakaan universiti.
"Sure!" Saya membalas, sambil jari menekan butang di lif.
"Cheers!" Dia membalas.
Dalam satu kejadian lain,
"Excuse me, can you take that for me. Please.." Pinta seorang makcik.
"Which one? This one?" Sambil memegang tin dan menunjukkan kepada makcik yang meminta.
"Yup. Thank you so much, my love!" Oh, hati berbunga, kerana dipanggil 'love'!Sweet lah makcik ni~
Saya bukanlah seorang yang terlalu 'alert', tetapi untuk masa-masa yang tertentu, telinga saya menangkap setiap butir bicara yang dikeluarkan oleh orang sekeliling. Kemudian, saya berfikir dan menilai, lantas belajar tentang erti kehidupan.
*****
Dalam situasi lain, dengan latar masyarakat yang berbeza.
"Mimi, ambil kan buku atas meja," Saya berhenti sekejap. Otak ligat berfikir, memproses ayat yang dikeluarkan oleh rakan sebentar tadi.
Saya diam. Badan bergerak menuju ke arah meja untuk mengambil buku.
"Mimi, buka pintu rumah," Nadanya biasa sahaja. Tiada nada marah, mahupun mengarah. Saya diam. Kad rumah dikeluarkan, pintu dibuka.
Hati memberontak, mahu juga berkata tentang apa yang saya rasa pada kawan sekeliling. Masa senggang yang ada saya ambil untuk membuat perbincangan, dengan harapan sahabat boleh berfikir tentangnya.
"Ijan, perasan tak sesetengah orang ni suka 'memerintah'," Saya memulakan bicara.
"Macam mana?", Dia menyoal untuk mengetahui.
"Kita selalu perasan, kawan-kawan kita jarang nak guna perkataan 'tolong'. Terutama apabila mahukan orang lain membuat sesuatu untuknya. Semua pun nak beri arahan,"
"Kita selalu perasan jugak, kiwi-kiwi kat sini, kalau nak minta tolong daripada orang lain, mesti mereka akan gunakan perkataan, "Please". Kalau tak di awal ayat pun, di akhir ayat mereka pasti akan guna juga perkataan "Please" tu."
Ego kah diri, sebab tak mahu 'diarah'? Bukan. Cuma, merasakan bahawa perkataan yang keluar itu memainkan peranan yang penting dalam menggambarkan si pengeluar perkataan tersebut.
Bukankah tujuannya mahu meminta 'tolong'? Tidak terlalu berat atau susah rasanya untuk menggunakan perkataan 'tolong' tersebut.
Bukankah perkataan 'tolong' itu juga menunjukkan rasa rendah diri. Rendah diri kerana diri sendiri tidak mampu untuk melakukan sesuatu. Jadi, kita bertindak untuk meminta bantuan dan pertolongan daripada orang lain.
Manusia, tiada yang sempurna, malah manusia perlu untuk hidup dalam komuniti supaya setiap kelemahan yang ada di dalam diri individu mampu ditampung oleh individu yang lain.
"Eh, dah lah nak minta tolong orang. Kemudian nak mengarah pula." Detik dia di dalam hati apabila diminta untuk 'tolong' mengambilkan sesuatu. Sedangkan bukanlah dia sedang di'arah' pun, cuma struktur ayat yang keluar menyebabkan dia rasa seperti sedang diarah. Sedangkan, kalau difikir kan pun, tiadalah kawan itu mahu 'mengarah' pun.
Lagi teruk keadaannya apabila permintaan telah dipenuhi, 'terima kasih' tidak dilafazkan.
Terima kasih itu sebagai tanda penghargaan kepada yang telah membantu. Kadang-kadang yang membantu tidaklah mengharapkan sangat perkataan tersebut, tetapi, bukankah itu adab?
Orang berbudi, kita berbahasa..kan?
Tahun lepas banyak turning point kepada diri. Salah satunya adalah insiden yang berlaku semasa perjalanan ke universiti, dengan menaiki bas.
Rakan saya membayar tambang bas kepada pakcik pemandu. Dikatakannya, "University."Seperti biasa, mukanya sentiasa tersenyum, sambil tangan menghulur syiling bernilai NZD1.50. Pakcik tersebut berkata, "Sorry?" Sambil air mukanya berubah. Rakan saya mengulang perkataan yang sama, "University." Pakcik tersebut,"Again?"
Ketika itu saya sudah mulai rasa pelik. Di dalam hati, "Eh, teruk sangat ke slang kitorang sampaikan sebut 'university' pun pakcik tu tak dapat nak identify?"
Rakan saya menyebut lagi, "University." Air mukanya tetap tidak berubah, tetap tersenyum. Kemudian, pakcik itu menyebut, "Rude!" Raut mukanya seperti marah, sambil mengambil duit yang dihulurkan oleh rakan tersebut.
Sepanjang dalam perjalanan ke universiti, kami berfikir, kenapa pakcik tersebut marah? Apa yang kami buat?
Lantas, Allah SWT datangkan pengajarannya. Rakan saya berkata, "Mesti sebab kita tak guna perkataan 'please'.
Kalau tak, takkan lah pakcik tu kata 'rude!' tiba-tiba."
Astaghfirullahal'azim. Saya terdiam, memandang ke luar tingkap, sambil berfikir. Berfikir dan bersyukur diatas tunjuk ajar yang telah diberikan oleh Allah SWT.
Hati terdetik, "Mereka ni ada nilai-nilai baik yang diamalkan dalam kehidupan seharian, bukanlah mereka Islam pun. Tetapi, mereka tahu dan amalkan nilai dan adab."
Allahu akbar~ Terima kasih kepada pakcik pemandu bas yang telah 'mengajar' kami nilai dan adab. Hati terasa lembut, tiada langsung rasa mahu marah kerana perkataan "Rude!" yang dikeluarkan.
Marah tiada, tapi terkejut. Langsung, bersyukur kepada Allah SWT yang mahu kami tahu dan belajar tentang erti hidup. Erti hidup yang sebenarnya perlu kepada adab dan nilai hormat kepada orang sekeliling yang telah memberi khidmat dan bantuan.
Jangan ditinggalkan perkataan 'Tolong' dan 'Terima Kasih' dalam hidup sehari-hari! Hakikatnya, kita lemah. Paling tidak pun, kepada Allah SWT perlu untuk kita meminta!
Manners are not born with us, they are acquired.

Bagaimana Akhirnya Aku Bertudung Labuh

Aku mengurut-urut keningku perlahan-lahan. Penat. Aku baru sahaja selesai mengulangkaji sebahagian buku subjek Muamalat. Ku tutup buku itu lalu aku bangun dan melangkah keluar dari bilik. Aku menuju ke ruang tamu. Kosong. Di mana semua orang. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk keluar menghirup udara petang. Aku segera mencapai sehelai tudung dan menyarungkannya di kepala. Stoking juga ku ambil lalu ku pakai.
Aku melangkahkan kakiku ke luar rumah. Tetapi hasrat untuk berjalan-jalan ku batalkan lalu aku mengambil keputusan untuk naik ke bumbung rumah. Di atas bumbung rumahku ada sebuah bahagian seakan-akan balkoni yang dibina oleh ayahku sebagai tempat istirehat pada waktu-waktu senggang. Ada sebuah meja dan beberapa kerusi buatan sendiri di situ.
Aku melabuhkan punggung di salah sebuah kerusi yang menghadap ke jalan raya. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tudungku turut terbuai ditiup angin semilir petang. Ada anak-anak kecil yang sedan berkejaran. Ada yang sedang berbasikal dan ada yang sedang bermain badminton. Aku tersenyum melihat anak-anak kecil ini. Indahnya alam kanak-kanak.
Di sudut lain pula ada anak-anak remaja yang sedang berkumpul di atas motosikal masing-masing. Mungkin menunggu waktu yang sesuai untuk merempit. Ada juga anak-anak gadis berpakaian kurang sopan sedang berjalan-jalan. Aku mengeluh. Sebagai seorang gadis, aku turut merasa malu melihat mereka berpakaian seperti itu. Ya, lebih memalukan kerana mereka bertudung. Tudung yang bukan tudung dengan pakaian yang ketat dan sendat.
Aku mengalihkan pandanganku ke tempat lain. Hatiku sayu mengenangkan umat Islam kini yang semakin rapuh imannya. Dan aku? Tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengubahnya. Aku bermonolog sendirian. Dahulu, aku juga seperti mereka. Bertudung sekadar syarat. Bagiku, asalkan bertudung itu sudah cukup. Tetapi segala-galanya berubah kerana suatu peristiwa. Aku termenung mengingat kembali peristiwa itu.
************************************************
Kisah itu bermula ketika aku berusia 13 tahun. Aku mula menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah. Aku bersekolah di sebuah sekolah menengah agama yang terkemuka di Hulu Langat. Hari pertama persekolahanku, aku berkenalan dengan ramai teman baru dan ada juga teman-teman dari sekolah rendah yang turut menyambung pelajaran di situ sepertiku.
Ingin aku ceritakan betapa indahnya suasana masyarakat di situ. Gadis-gadisnya bertudung labuh dan pemuda-pemudanya segak berkopiah. Suasananya tenang dengan pokok-pokok rendang yang menghijau, kicauan burung dan ikan-ikan yang sedang bermain di kolam. Tetapi, itu adalah perasaan yang ku rasakan kini iaitu saat aku telah menginjak dewasa, saat aku mengenangkannya.
Namun, saat suasana itu sedang ku alami, hatiku remajaku memberontak. Mengapa aku harus bertudung labuh ke sekolah? Hodohnya! Itulah yang ku fikirkan saat itu. Aku gadis bertudung tetapi aku bukan gadis bertudung labuh.
Hari-hari persekolahanku, ku lalui seperti biasa. Aku mula dapat menyesuaikan diri. Sehinggalah pada suatu hari, kami semua dikehendaki hadir ke sekolah pada hari Sabtu untuk membersihkan kelas sempena Pertandingan Keceriaan dan Kebersihan Kelas. Di rumah, aku mula gelisah. Apa yang harus ku pakai untuk ke sekolah??
'Ish, nak pakai apa ni? Takkan nak pakai tudung pendek ni kot?? Malulah!'
Aku benar-benar bingung. Aku tidak mungkin akan hadir ke sekolah dengan tudung pendekku. Aku malu kerana selama ini semua teman-temanku hanya pernah melihatku bertudung labuh sekolahku itu. Pasti mereka akan menganggapku sebagai seorang yang hipokrit. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk meminjam sehelai tudung labuh ibuku. Walaupun ibuku tidak bersekolah agama, tetapi dia bertudung labuh. Mungkin kerana dia mengajar di sekolah agama atau mungkin kerana itu adalah keinginannya sendiri. Aku juga tidak tahu.
'Mak, nak pinjam tudung labuh sehelai'
'Nak buat apa?'
'Esok Along kena pergi sekolah'
'Laa..pakai je la tudung yang Along biasa pakai tu'
'Taknak, Along malulah. Nanti apa pulak kata kawan-kawan Along kalau tengok Along pakai tudung pendek'
'Hah, yelah. Ambillah yang mana Along nak'
Aku segera mengambil sehelai tudung ibuku yang berwarna krim. Hatiku melonjak girang. Bolehlah aku ke sekolah dengan bertudung labuh nanti. Tidak perlulah aku berasa malu dengan teman-temanku lagi.
Esoknya, aku memakai sehelai t-shirt dengan tudung labuh tersebut. Agak lucu kerana tudung itu agak besar denganku. Ah, aku tidak peduli asalkan aku ke sekolah dengan bertudung labuh. Ibuku menghantarku ke sekolah. Saat aku tiba ke sekolah, aku terkedu. Teman-temanku sudah sampai. Ramai. Lelaki dan perempuan semuanya sudah berada di dalam kelas. Tetapi bukan itu yang membuatku terkedu.
'Tengok, kawan-kawan kamu tu tak ada pun yang pakai tudung labuh. Tu lah, mak cakap pakai tudung biasa je kamu takanak dengar. Degil'
Aku hanya mendiamkan diri. Perlahan-lahan aku membuka pintu kereta. Kakiku melangkah lesu keluar dari perut kereta. Terasa seakan-akan semua orang memandangku. Saat itu, aku rasa seperti ingin menangis. Terasa seakan-akan semua orang sedang ketawa melihatku.
Mataku liar memandang sekeliling. Ya, ada yang turut berpakaian sepertiku. Aku lega. Sekurang-kurangnya aku tidak berseorangan. Tetapi, teman-teman rapatku semuanya bertudung pendek. Dan mereka berlagak seolah-olah tidak mengenaliku. Aku hanya melangkah lesu masuk ke dalam kelas.
Aku tersenyum mengenangkan kembali kerenahku. Bertudung labuh kerana malu. Ah, naifnya aku saat itu. Aku kembali semula ke zaman persekolahanku.
'Bagusnya kau pakai tudung labuh'
Kata seorang temanku. Lelaki. Aku sekadar mendiamkan diri. Sebetulnya aku malu. Mereka tidak tahu bahawa aku memakainya kerana terpaksa. Kerana malu dan khuatir dikatakan hipokrit.
Sejak saat itu, aku sentiasa memakai tudung albuh apabila perlu ke sekolah pada bukan hari persekolahan. Ya, masih kerana aku malu. Aku tidak ikhlas memakainya. Bahkan aku merasakan aku sangat hodoh memakai tudung labuh. Tetapi aku tetap memaksa diriku untuk bertahan. Ibuku pula kurang memberikan sokongan. Dia tidak kisah samada aku bertudung labuh ataupun tidak. Baginya, cukup sekadar tudungku itu menutup aurat. Labuh menutupi dada. Walaupun ibu bapaku tidak bersekolah agama, mereka amat menitikberatkan ajaran agama dalam keluarga. Aku dilarang sama sekali berpakaian tidak menutup aurat di luar. Walaupun aku bertudung pendek, auratku terjaga. Mungkin kerana tubuhku yang kecil pada masa itu lalu walaupun bertudung pendek, perhiasan wanitaku terjaga.
Suatu hari, aku keluar ke Pekan Kajang bersama kawan-kawanku. Tetapi, kali ini aku bertudung pendek. Ah, aku lebih malu memakai tudung labuh kalau di Kajang. Di situ, orang-orangnya bergaya. Pasti aku akan kelihatan aneh dengan tudung labuh apabila berada dalam kalangan mereka. Malahan aku berbaju ketat dan tudungku silang sehingga nampak perhiasan wanitaku. Aku bersikap berani kerana ibuku dan ayahku tiada di rumah. Mereka hanya akan pulang pada waktu malam.
Aku berpisah dengan kawan-kawanku apabila mahu pulang. Aku pulang dengan menaiki bas. Saat aku masuk ke dalam perut bas, ku lihat hanya tinggal satu tempat duduk di sebelah seorang makcik. Aku segera mengambil tempat. Penat berdiri.
Di pertengahan jalan, makcik yang duduk di sebelahku turun lalu tempatku diambil oleh seorang lelaki muda. Botak. Berpakaian aneh dengan corak tengkorak pada bajunya. Aku mengengsot sedikit lalu memandang kosong ke luar tingkap. Tidak selesa. Tiba-tiba terasa ada tangan seseorang di pinggangku. Aku tersentak tetapi aku tidak segera melatah. Aku menjeling pada pemuda di sebelahku. Matanya tertutup rapat. Sangkaku dia tertidur dan tangannya tidak sengaja menyentuhku. Lalu ku alihkan tangannya dan kembali memandang ke luar tingkap. Tiba-tiba ia berlaku sekali lagi. Kali ini ku rasakan tangan itu bergerak-gerak menandakan kali ini perbuatan itu disengajakan. Pantas aku mengambil begku dan diletakkan di antara aku dengannya. Kalau ikutkan hatiku yang baran, nahas lelaki ini ku kerjakan. Tetapi, keadaan sesak di dalam bas membantutkan niatku. Aku menudukkan tubuhku dan menongkat dagu memandang lagi ke luar. Dan tak ku sangka lelaki tiu berani meletakkan tangannya di bahuku.
'Hoi!!!'
Tanpa perasaan malu aku bangun dan berteriak. Aku tidak peduli dengan mata-mata yang sedang memandangku. Lelaki ini harus ku ajar. Tetapi dia sekadar membatu di tempatnya tanpa sedikit pun terkuit.
'Kau ni apahal?! Jangan nak kurang ajar dengan aku!'
'Apa?? Apa aku buat kat kau??'
Dia memandangku sinis.
'Apa??'
'Kau..kau..urgh, tepilah, aku nak keluar! Pakcik, berhenti! Saya nak turun!'
Aku berteriak kepada pemandu bas agar segera berhenti. Sakit hatiku melihat wajah pemuda itu. Sebelum aku turun, aku memijak kaki pemuda itu sekuat hatiku. Dia terjerit. Puas hatiku.
'Padan muka, jangan nak main-main dengan aku!'
Aku pulang dengan menaiki bas lain selepasnya. Di rumah, apabila ibuku pulang aku menceritakan peristiwa tersebut pada ibuku. Dia memarahiku. Katanya, aku tidak berhati-hati sehingga ada orang yang mengambil kesempatan terhadapku.
Wajahku berkerut apabila mengingati peristiwa hitam itu. Itu pertama kali dalam hidupku peristiwa sedemikian terjadi padaku. Sejak itu, aku jadi trauma untuk menaiki bas. Tetapi, ada peristiwa selepas itu yang telah mengubahku menjadi seperti aku sekarang ini.
Petang itu, aku baru sahaja selesai menghadiri kelas tambahan di sekolah. Kebiasaannya ibuku akan datang mengambilku tetapi petang itu ibuku tidak dapat datang kerana kereta ibuku rosak dan berada di bengkel kereta. Itu bermakna aku harus menaiki bas untuk pulang.
Suasana di Pekan Kajang seperti biasa. Penuh sesak dengan manusia. Aku mula terbayang peristiwa hitam yang pernah terjadi padaku di dalam bas. Mataku meliar mencari bas yang kosong. Aku tidak mahu mengambil risiko menaiki bas yang penuh sesak. Khuatir peristiwa itu akan berulang lagi.
Bas mula bergerak menuju ke destinasi. Aku duduk seorang diri. Begku letakkan di kerusi sebelahku. Sengaja. Aku tidak mahu ada orang duduk di situ. Tiba-tiba..
'Kak, boleh saya duduk kat sini?'
Seorang pemuda berusia dalam lingkungan 20-an menegurku. Aku memandangnya sekilas.
'Suka-suka je panggil aku kakak. Mentang-mentang aku pakai tudung labuh. Tak nampak ke aku bawa beg sekolah ni?'
Aku serba-salah. Aku bimbang peristiwa itu akan berulang lagi. Tanganku perlahan-lahan mengambil beg di sebelah tempat dudukku. Pemuda itu juga kelihatan teragak-agak untuk duduk. Dia sekadar duduk di hujung kerusi. Langsung tidak bersentuh bahu denganku. Aku tersenyum. Lega.
'Sekolah lagi ke?'
Aku tersentak apabila suara lelaki itu menegurku. Aku menoleh dan mengangguk.
'Sekolah agama ke? Kat mana?'
' A'ah, sekolah agama kat Langat'
'Ooh..yeke. Baguslah adik pakai macam ni bila keluar. Jangan pakai tudung labuh kat dalam sekolah je. Orang yang pakai tudung labuh ni, maruahnya terjaga. Bila pakai tudung labuh, orang tak berani mengurat. Hihi..'
Aku terdiam mendengar kata-katanya. Terasa kata-kata itu benar-benar tepat menikan di hatiku.
'Abang turun dulu. Kalau nak tahu, abang ni ex sekolah adik'
Pemuda sopan itu berlalu keluar. Aku menghantar langkahnya dengan pandangan kosong. Sekumpulan anak muda masuk ke dalam perut bas. Bising. Mereka berpakaian serba hitam dengan rambut tercacak berwarna-warni. Aku kembali teringat peristiwa itu. Belum sempat berbuat apa-apa, salah seorang dari mereka mengambil tempat di sebelahku. Tetapi, dia juga seperti pemuda sopan tadi. Sekadar duduk di hujung kerusi. Aku terkesima. Kata-kata pemuda tadi kembali terngiang-ngiang di telingaku. Bayangan peristiwa hitam itu bermain di mindaku. Ya, saat itu aku berpakaian kurang sopan. Tudungku pendek menampakkan perhiasanku. Bajuku ketat dan tidak menutup aurat.
Aku kembali ke alam nyata. Bayangan peristiwa lalu itu hilang dari mindaku. Aku bersyukur kerana diberi peluang untuk berubah. Aku bersyukur kerana diganggu oleh pemuda kurang sopan itu dan aku bersyukur dipertemukan dengan pemuda sopan yang menasihatiku itu. Jika tidak kerana mereka, pasti aku semakin jauh tersesat. Pasti aku akan sentiasa bertudung labuh kerana malu bukan kerana ALLAH.
Sejak peristiwa itu, aku mula mengikhlaskan diri dalam bertudung labuh. Aku tidak lagi memakainya hanya untuk ke sekolah. Aku memakainya di mana-mana sahaja apabila aku keluar dari rumah. Dan segalanya benar, bertudung labuh secara automatik membuatku terjaga. Maruahku terpelihara dan tidak dipermainkan. Tiada orang yang berani menggangguku bahkan dengan bertudung labuh juga, aku jadi lebih berhati-hati dengan sikapku kerana aku tahu ada banyak mata yang memerhati langkahku.
Aku bangun lalu turun ke bawah. Rupa-rupanya adik-adikku keluar bermain di taman. Aku tersenyum melihat adik-adik perempuanku yang turut manis bertudung labuh. Aku ingin mereka menjadi gadis solehah. Kini, aku bertudung labuh kerana ALLAH bukan lagi kerana malu dengan teman-temanku. Walaupun bukan tudung labuh seperti waktu aku bersekolah, ia masih lagi labuh dan menutup auratku. Aku akan sentiasa cuba untuk memperbaiki diriku menjadi gadis yang solehah.
p/s: Kisah ini adalah kisah benar seorang gadis. Kisahnya simple tetapi boleh dijadikan pengajaran untuk semua. Saya gunakan bahasa diri aku agar pembaca mudah untuk memahaminya. Semoga kita diberi peluang untuk berubah seperti gadis ini dan kita sama-sama doakan agar dia istiqamah dengan perubahannya itu. Ameeennn..

Wednesday 11 May 2011

Istimewanya Seorang Muslim

"Hujan pagi hari, rintik-rintiknya halus dan jernih sejak kelmarin. Namun malang, sejuknya tidak sampai ke petang. Betapa pun, syukur Alhamdulillah. Itulah rahmat Tuhan. 
Terkadang, ingin rasanya hati ini turut disirami hujan. Biar dingin. Biar nyaman. Moga subur tanah hati dengan baik. Kadang kala, hati harus akur. Tidak selamanya hujan akan mencurah. Tetap ada kemaraunya. Hari ini hujan pagi. Esok, mungkinkah kemarau?" Getus hati Abdullah Soleh sebelum matanya tertutup.
Keesokannya, Abdullah Soleh dengan semangatnya mengharungi hari terakhir sebuah program kem motivasi untuk pelajar-pelajar institut pendidikan tinggi di tempat mereka.
Slot terakhir motivasi bagi program tersebut bertajuk "Istimewanya Diri Kita".
"Baik, siapa boleh beritahu kita di sini keistimewaan dirinya?" Satu soalan dilontarkan kepada mahasiswa dan mahasiswi oleh motivator tersebut.
"Saya nak jawab!" Sambut seorang mahasiswa yang bergaya dengan nada yakin.
" Assalamualaikum semua. Di sini saya nak beritahu apa keistimewaan saya, istimewanya saya ialah saya berkeyakinan tinggi, saya bijak berpidato, dan saya yakin bahawa saya mampu menjadi pemimpin negara suatu hari nanti." Kata mahasiswa tersebut dengan penuh keyakinan.
Siswa dan siswi lain juga memberi maklum balas terhadap soalan tadi. Ada yang beritahu keistimewaannya ialah menyanyi, bermain bola, pandai bergurau dan macam-macam lagi.
Hampir semua siswa dan siswi memberi maklum balas terhadap soalan tadi. Lalu, Abdullah Soleh bangkit berdiri untuk turut sama memberitahu keistimewaan sendiri.
"Saya mahu beritahu keistimewaan saya! Keistimewaan saya ialah saya seorang Muslim, mengapa saya berkata begitu? Biar saya jelaskan. Dengarlah sahabat-sahabatku terutamanya yang beragama Islam. Sedarlah! Diri kita tiada ertinya jika Islam bukan agama yang dianuti, tiada ertinya jika kita bukan seorang Muslim. 
Sedarlah! Betapa istimewanya kita dapat merasai nikmat Iman dan Islam, betapa istimewanya kita dalam berbillion kalangan umat manusia di dunia ini kita yang terpilih merasai nikmat Iman dan Islam, tanpa nikmat Iman dan Islam mungkin kita boleh berjaya di dunia dengan kelebihan-kelebihan yang Allah anugerahkan, akan tetapi di akhirat sana kita pasti akan kecewa serta merana.
Sedarlah! Seorang Muslim itu sangat istimewa, kerana apa? Kerana kita mempunyai Allah Yang Maha Kuasa. Waktu kita susah dan senang Dia sentiasa ada, malah ketika kita sakit, Dia menghapuskan dosa-dosa kecil kita serta ditambah lagi dengan ganjaran pahala jika kita bersabar menghadapi ujian dari-Nya.
Jika kita lihat, ujian yang hadir itu bukan untuk menghukum kita tetapi memberi peringatan kepada kita yang lalai. Umpama seorang ibu menegur anaknya dengan penuh kasih sayang agar anaknya sentiasa di jalan yang benar. Begitulah perumpamaannya.
Namun kasih sayang Allah lebih lagi daripada kasih sayang seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Tidakkah anda semua berasa istimewa dengan nikmat Iman dan Islam ini? Bukankah ini suatu keistimewaan yang terulung kepada diri anda? Maha Suci Allah yang menciptakan segala apa yang ada di langit dan di bumi! Apa pun musibah yang menimpa seorang Mukmin, selalu menguntungkan dirinya, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. dalam sebuah hadis:
"Amat menakjubkan sikap seorang Mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan Mukmin. Jika dia mendapat kebaikan, dia bersyukur, jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya." (Riwayat Muslim)
Seorang Mukmin apabila ditimpa kesusahan, dan dia mengingati Allah, dengan jalan itulah dia akan memperoleh jalan penyelesaian yang terbaik. Dia tidak merasa tekanan batin dalam bentuk apapun, kerana penderitaan yang paling berat sekalipun, pasti ada jalan penyelesaiannya dan pertolongan dari-Nya. Rasulullah S.A.W. pun bersabda: "Ingat akan Allah adalah penawar kalbu," Diriwayatkan oleh ad-Dailami oleh Anas.
Maka wahai jiwa yang sedang gundah berduka lara, dengarkan firman Allah S.W.T:
"Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Dan boleh jadi kalian mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah Maha Mengetahui kalian tidak mengetahui." (QS. Al-Baqarah: 216)
Maka setelah ini wahai jiwa pemuda, jangan biarkan kita hanyut dalam ilusi yang berpanjangan terhadap apa-apa yang terlepas dari genggamanmu, dari dakapanmu. Kita lihat di sekeliling kita, kemudian cerminlah diri sendiri. Andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, mulai hari ini ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri!
Manusia yang mulia adalah yang menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah seorang hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar- benarnya, baik secara teori mahupun praktikal. Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik bagi kehidupan ini, semata-mata mengharap cinta-Nya, keredhaan-Nya, dan lebih dari itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan 'kecantikan' Maha Pemurah.
Andai ternyata keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah S.W.T., ternyata apa yang diharapkannya esok hari tidak menjadi nyata, malah yang terjadi adalah sesuatu yang sebaliknya, maka kita mesti tetap ikhlas dan berbanggalah kita seorang Muslim! Takbir!
"Allahuakbar!"sambut rakan siswa dan siswa yang lain.
Ingatlah sahabat sekalian.
Islam tidak pernah mengecewakan kita tetapi kita yang selalu mengecewakan Islam, kita yang membiarkan Islam terus layu. Kita tidak bangga dengan nikmat Iman dan Islam yang kita miliki. Kita lebih berbangga dengan hiasan-hiasan dunia yang tidak kekal lama. Peringatan ini juga buat diri saya yang kerdil dan hina ini. Sekian terima kasih."
Tepukan gemuruh mula memecah suasana di dalam dewan kem tersebut.
Hebatnya jiwa pemuda, hebatnya jiwa pemuda Islam. Allahuakbar!!

Intai-intai

get this widget here